Hubungi Kami

Bahang Kejohanan Badminton Kian Terasa



Kejohanan Badminton Terbuka KRTDA 2008 kini tinggal kurang 2 minggu. Penduduk Desa Anggerik yang telah mendaftar sebagai peserta kejohanan badminton dilihat mula berlatih meningkatkan stamina dan skil individu masing-masing untuk menghadapi kejohanan badminton buat julung-julung kali diadakan.

Kelmarin (4 Ogos 2008) bertempat di Dewan MPN, bermula jam 10.00 malam, kira-kira 20 orang penghuni Desa Anggerik dan pelajar USIM berkumpul untuk membuat latihan badminton secara beregu, untuk menggilap semula bakat dan skil yang hampir 'berkarat' dek zaman. Latihan bebas yang berakhir jam 12.00 tengah malam itu menunjukkan usia bukan penghalang, sekaligus menjadi asas ukuran bagi kejohanan sebenar nanti.

Bagi peserta kategori Lelaki Senior misalnya, latihan malam kelmarin membuktikan sentuhan mereka masih berbisa sekaligus melaungkan amaran agar kategori mereka nanti tidak dipandang sebelah mata. Chef Kadir umpamanya, mampu membuatkan lawannya berlari ke segenap gelanggang untuk mengembalikan bulu tangkis. Jelas, beliau bukan sahaja pakar di dapur, tetapi gerakan tangan yang mengenggam senduk dan sudip sesekali membuatkan lawan tercungap kepenatan, begitu juga En. Jamil, Haji Rahim, Pak Akob dan En. Abu.
Hakikatnya, kejohanan badminton pada 24 Ogos nanti adalah gelanggang yang sesuai untuk menguji dan melihat siapakah individu yang sebenarnya selama ini menyembunyikan skil badminton kerana peserta kategori Lelaki (bawah 40 tahun) yang berlatih juga tidak kurang hebatnya. Mereka yang beraksi malam tadi adalah, En. Mukhlis, En, Zaki, En. Zahari, En. Faiz, En. Sharif, Cikgu Alwi. En. Shashila, Pak Ya, En. Azman, dan beberapa lagi peserta termasuk pelajar USIM. Nantikan latihan bebas seterusnya yang akan ditetapkan tarikhnya kemudian.

Sunday, July 27, 2008

Kempen Penjimatan Petrol



Biro Rekreasi, KRTDA hari ini (27 Julai 2008) melancarkan program penjimatan penggunaan petrol bagi ahli KRTDA bertempat di perkarangan Surau Desa Anggerik.

Seorang Mekanik khas dari Seremban mengendalikan proses pemasangan berasaskan penggunaan air bagi mengurangankan penggunaan petrol dalam enjin kenderaan. Caj dikenakan adalah hanya RM40.00 di mana RM10 disumbangkan oleh peserta kepada Surau Desa Anggerik dan KRTDA.


Dengan penggunaan sistem ini, dijangka pengunaan petrol mampu dijimatkan sehingga 30% disamping menambahkan lagi kuasa 'pick-up' kenderaan. Sebanyak 9 buah kenderaan yang telah dipasangkan dengan alat ini, program bermula jam 10.00 pagi dan berakhir pada 1.00 tengahari.
Encik Zahari yang turut memasang komponen tersebut pada enjin keretanya memberitahu bahawa terdapat perbezaan ketara dari segi prestasi enjin keretanya berbanding sebelum ini. Perasaan ini turut dikongsi oleh beberapa peserta lain yang turut berpuas hati dengan kosnya yang amat menjimatkan.

Biro Rekreasi, En. Muhlis memaklumkan bahawa seperti program ini berkemungkinan akan diteruskan lagi pada masa akan datang bergantung kepada permintaan ahli KRTDA.
"BERJIMAT SAMBIL BERAMAL"